Sejarah Sekolah Kebangsaan Serting Ulu 

 

Penubuhan Sekolah Kebangsaan Serting Ulu telah diasaskan oleh seorang pesara guru iaitu Allahyarham Tuan Haji Pie bin Ismail. Pada peringkat awalnya, beliau hanya mengajar di rumahnya. Kumpulan murid pertamanya ialah seramai tujuh orang. Perkembangan ini telah menarik minat masyarakat setempat untuk mendirikan sebuah sekolah.

 

Ketua-ketua kampung  berhampiran iaitu Allahyarham Dato’ Muda Sujak (Kampung Bayai), Allahyarham Dato’ Muda Manaf (Kampung Serting Ulu) dan Allahyarham Tuan Haji Pie bin Ismail (Kampung Serting Tengah) telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah sekolah.  Atas usaha mereka dan kesedaran penduduk kampung,  mereka telah mengambil keputusan mendirikan sebuah sekolah pada lokasi di tengah-tengah dari kampung masing-masing.

 

Pada tahun 1938, sebuah bangunan tanah liat (dua tingkat) telah didirikan secara gotong-royong.  Bangunan ini mengandungi dua bilik darjah.  Murid sulungnya seramai 18 orang.  Tenaga pengajarnya pula seramai dua orang iaitu Allahyarham Cikgu Abdul Latef bin Rentah sebagai Guru Besar dan Allahyarham Cikgu Tuan Haji Pie bin Ismail.

 

Bangunan yang pertama didirikan dalam tahun 1937.  Ia merupakan sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi dua bilik darjah.  Ia merupakan sebuah bangunan tanah liat yang didirikan secara gotong-royong.  Murid awalnya ialah seramai 18 orang dan mempunyai dua orang tenaga pengajar.  Sekolah ini mula beroperasi dalam sessi persekolah tahun 1938.

 

Bangunan Bahagian Hadapan

 

Pada tahun 1948, sekolah ini mendapat sebuah lagi bangunan tambahan.  Ia mengandungi empat buah bilik darjah dan sebuah pejabat Guru Besar.  Sebuah “Tuckshop” yang agak selesa didirikan untuk kegunaan murid-murid sekolah.  Sebelum itu,  murid-murid dikehendaki membawa makanan dari rumah.

 

Pada tahun 1973, sebuah bangunan dua tingkat telah dibina. Bangunan ini mengandungi enam buah bilik darjah, tandas guru dan murid serta sebuah pejabat.

 

 

Pada tahun 1994, didirikan sebuah lagi bangunan yang mengandungi dua buah bilik darjah.  Pada tahun 1995, bangunan ini diubahsuai menjadi Makmal Sains dan Bengkel Kemahiran Hidup.

 

Pada tahun 1996, bangunan yang terbiar 1940 dan 1960 telah dibaik pulih.  Bangunan ini telah diubah suai dan dijadikan Pusat Sumber Sekolah, Bilik SPBT, Bilik Pemulihan dan Bilik SAL.